Watak dan perwatakan Grimmjow_Jeagerjaques

Grimmjow mempunyai rambut dan mata berwarna biru cair, di mana matanya mempunyai garisan-garisan biru/hijau di bawahnya yang serupa dengan ukiran pada kucing jenis Panthera, juga serupa dengan tanda merah di mata Madarame Ikkaku. Pakaian Grimmjow terdiri daripada hakama putih dan tali pinggang hitam; jaket putihnya digayakan dengan kolar terbalik. Warna di bahagian dalamnya ialah hitam, lengan bajunya digulungkan, dan Grimmjow memakainya secara terbuka, mendedahkan dadanya. Kesan topeng hollow Grimmjow terdiri daripada tulang rahang kanan, serta lubang hollownya digerakkan ke abdomennya.

Grimmjow sebagai seorang individu bersifat agak relaks dan kelihatan kurang sopan, namun rupa selekehnya ini menyembunyikan personalitinya yang terlampau ganas dan panas baran. Grimmjow mempunyai sikap biadap dan ganas, mendedahkan senyuman gilanya dalam pertarungan, serupa dengan Zaraki Kenpachi. Grimmjow tidak menghormati pihak yang berkuasa dan berkata-kata tanpa memikirkan kesannya, tidak mengambil kira jika pertuturannya bersesuaian ataupun tidak. Sikapnya ini seringkali menimbulkan konflik bersama-sama Tōsen Kaname, yang telah melihat dan menganggap Grimmjow serendah darjat Zaraki. Grimmjow juga mempunyai konflik bersama-sama Ulquiorra Schiffer, Espada ke-4, selalunya disebabkan sikap Ulquiorra yang seringkali mengganggu pertarungannya. Dia juga telah mula membenci Kurosaki Ichigo setelah mencederakannya sewaktu pertarungan kedua mereka, dan tidak sabar-sabar untuk membalas dendam. Sebagai tanda peringatan akan dendamnya, Grimmjow dengan sengaja menyimpan parut di dadanya daripada pertarungan mereka yang pertama.[3]

Grimmjow merupakan Espada berkedudukan nombor 6 dalam tentera arrancar Aizen Sōsuke, bermaksud dia merupakan Espada ke-6 berdasarkan kekuatan. Grimmjow merupakan watak yang pertama yang didedahkan sebagai seorang ahli Espada. Nombor 6 ditatukan di belakang badannya di sebelah kanan lubang hollow Grimmjow. Aizen secara peribadinya menandakan setiap ahli Espada, iaitu sepuluh arrancar miliknya yang terkuat, dengan tatu-tatu sebegitu untuk memperlihat kedudukan dan kebolehan mereka. Selepas Tōsen Kaname memotong tangan Grimmjow lalu membakarnya, Grimmjow diturunkan pangkatnya dan segera digantikan oleh Luppi. Selepas Inoue Orihime menyembuhkan tangannya, dia membunuh Luppi untuk mendapatkan kembali kedudukannya, menikammya dengan tangan yang baru dipulihkan Orihime, diikuti dengan tembakan cero untuk melesapkan kewujudan Luppi sekaligus.

Grimmjow mempunyai perwatakan yang cukup biadap dan tidak mempunyai sikap menghormati orang lain. Dia langsung tidak menggunakan sebarang kata-kata hormat dalam bahasa Jepun, tambahan pula dia merujuk kepada Orihime sebagai perempuan sahaja. Disebalik perwatakannya ini, Grimmjow mempunyai suatu "kod kehormatan" yang dipatuhinya, seperti yang ditunjukkannya semasa berlawan dengan Ichigo yang telah dicederakan dengan teruk, dan mengarahkan Orihime untuk menyembuhkannya supaya dia dapat bertarung secara adil. Dia juga pernah menyelamatkan Orihime daripada dua arrancar wanita yang sedang memukul gadis itu, walaupun dia sekadar membalas budi Orihime menyembuhkan tangannya sahaja.

Rekaan watak Grimmjow mempunyai persamaan yang ketara dengan Gamma Akutabi, salah satu watak dalam manga Tite Kubo yang lebih awal, Zombie Powder. Gamma mempunyai bahan prostetik di bahagian yang sama dengan peninggalan topeng hollow Grimmjow. Mereka berdua pernah kehilangan tangan, walaupun bukan lengan di sebelah yang sama. Dalam rupa lepasan Grimmjow, dia lebih menyerupai Gamma dengan rambutnya yang panjang dan tercacak. Mereka berdua juga pernah dilakar dalam posisi yang serupa untuk muka hadapan jilid manga.